Latar belakang Kerubut_Emas_Klondike

Orang Asli di barat laut Amerika Utara sudah lama memperdagangkan bijih kuprum sebelum orang Eropah datang ke Amerika Utara. Kebanyakan puak di situ sudah lama mengetahui terdapat emas di situ tetapi bagi mereka, emas tidak begitu bernilai.[2][3][4] Empayar Rusia dan Syarikat Hudson Bay terlebih dahulu meneroka Yukon pada separuh pertama abad ke-19, tetapi tidak memberi perhatian kepada emas kerana memberi tumpuan kepada perdagangan bulu yang memberikan keuntungan dalam masa yang lebih cepat. Malah pencari emas terawal pun menjalankan perdagangan bulu secara sampingan untuk meneruskan kehidupan.

Pada separuh kedua abad ke-19, para pencari emas dari Amerika mula meneroka pedalaman semenanjung.[5] Dengan kerjasama puak Tlingit dan puak Tagish, para pencari emas terawal berjaya meneroka laluan melalui Genting Chilkoot dan Genting White untuk sampai ke Lembah Yukon sekitar 1870-90.[6] Di Lembah Yukon, mereka bertemu puak nomad Hän yang menyara diri dengan menangkap ikan dan memburu binatang serta tinggal di sepanjang Sungai Klondike dan Sungai Yukon. Mereka seperti tidak tahu kewujudan emas di kawasan mereka.[n 1]

Pada tahun 1883, Ed Scheifellin menemui longgokan bijih emas di sepanjang Sungai Yukon, dan satu lagi ekspedisi di Sungai Fortymile juga menemukan emas yang agak banyak. Hasil emas ini digunakan untuk mengasaskan Fortymile City.[7][8] Pada tahun yang sama, emas ditemui di tebing Sungai Klondike namun dalam jumlah yang amat kecil.[9] Pada lewat 1880-an, beberapa ratus pelombong mula meneroka Lembah Yukon. Mereka mendirikan penempatan sendiri untuk melombong dan berdagang dengan puak Hän.[10][11][12]

Bandar Circle City, Alaska, bandar pembalakan yang terletak berhampiran sempadan, telah diasaskan di Sungai Yukon. Dalam masa 3 tahun, bandar ini mendapat jolokan "Paris Alaska" kerana mempunyai 1200 penduduk dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti salon, rumah opera, sekolah dan perpustakaan. Bandar tersebut sangat terkenal pada 1896 sehingga wakil dari "The Chicago Daily Record" yang berpusat di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat datang melawat. Malangnya pada hujung tahun, bandar ini menjadi bandar tinggal selepas penemuan emas di Klondike.[13]